Sunday, January 1, 2012

KEMPAS 2011



PUCHONG, 26 November - SMK Putrajaya Presint 16 (1) mencipta nama sebagai johan keseluruhan Kem Pendidikan Alam Semulajadi Peringkat Kebangsaan (KEMPAS) 2011.
Sekolah itu berjaya membawa pulang piala pusingan, plak dan Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM250 setiap seorang.

SMK King George V berjaya menjadi naib johan manakala tempat ketiga dimenangi oleh SMK Tun Fatimah yang masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM800 dan RM600 serta plak. Setiap peserta turut memenangi SSPN bernilai RM200 dan RM150.
Kem yang disertai hampir 50 orang pelajar tingkatan empat dari 16 buah sekolah seluruh negara telah berjaya memupuk kesedaran mengenai alam semulajadi .

Program yang telah dijalankan selama seminggu anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Berita Harian itu bertujuan memberi kesedaran serta memupuk semangat cintakan alam semulajadi di kalangan peserta.

Selain itu, KEMPAS merupakan program tahunan yang digerakkan melalui Fakulti Perhutanan UPM, berusaha meningkatkan kefahaman terhadap pendidikan alam semulajadi melalui kaedah hands-on (kerja lapangan) sekitar Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong.

Sementara itu terdapat beberapa anugerah yang mengiktiraf sikap dan budaya penyelidikan unggul seperti Anugerah Tunas Alam menjadi milik Nur Izzah Nabilah Haris dari Sekolah Menengah (SM) Sains Lahad Datu.

Anugerah Kepimpinan Alam pula telah diraih oleh Nur Farah Najwa Hassim dari SMK Tun Fatimah, Johor. Bagi Anugerah Kreativiti Alam, tuah menjadi milik Michelle Elva James, dari SMK Labuan. Anugerah KEMPAS (Peserta Terbaik) pula jatuh kepada Mohd Rozaini Ermi Bin Herman dari SM Sains Lahad Datu, Sabah yang membawa pulang SSPN bernilai RM300 beserta plak.

.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata pendidikan alam semulajadi ini tidak hanya terhad di kalangan pelajar sekolah sahaja malahan menjadi tanggungungjawab dan harus dipraktikkan oleh semua lapisan masyarakat.

"Modul-modul kem ini telah digarap dengan elemen seperti pemantauan, pelaksanaan, dan penghayatan terhadap alam semulajadi. Program ini meningkatkan kefahaman dalam peserta melalui aktiviti-aktiviti di lapangan," katanya sewaktu merasmikan majlis penutup di sini.

Berita ini disediakan oleh Pejabat Pemasaran dan Komunikasi (MarComm) Syed Muhammad Azlan Sayid Hizar, 03-89466184.

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger