Monday, January 2, 2012

Kak Limah Dipenjara Dalam Botol ?


      Misteri gangguan makhluk halus menyerupai hantu Kak Limah menyelubungi kehidupan satu keluarga di Kampung Temiang, Marang Terengganu sejak lebih seminggu lalu terungkai apabila seorang ustaz yang menggunakan kaedah perubatan secara Islam tampil membantu.
Proses pemulihan yang dilakukan Ustaz Nor Hasrul Mohd Hassan dari Perubatan Syifa Al Ikhlas yang berpangkalan di Serendah, Selangor itu yang tiba kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, bermula di rumah pusaka keluarga berkenaan di Jerangau kira-kira jam 4 petang.
Bagaimanapun usaha untuk menghalau makhluk halus di rumah Syaawal Mazlan di Kampung Temiang, di sini hanya dilakukan kira-kira jam 9 malam berikutan detik itu dikatakan bermulanya kehadiran makhluk menyerupai hantu Kak Limah itu.
Kak Limah adalah nama watak seorang wanita yang disangka jelmaan hantu dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mendapat sambutan hangat di pawagam tahun lalu.
Usaha Sinar Harian untuk tiba ke lokasi berkenaan agak mencabar berikutan lokasi rumah keluarga terbabit yang agak terpencil, selain keadaan hujan lebat ditambah jarak rumah agak jauh lain merumitkan lagi proses mendapatkan maklumat daripada penduduk kampung.
Bagaimanapun, selepas berjaya masuk ke jalan yang bakal menghubungkan Kampung Temiang melalui laluan Wakaf Tapai-Marang, kewujudan sebuah warung kopi di tepi jalan dengan kesediaan pelanggannya yang terdiri daripada penduduk tempatan memberi maklumat diperlukan, memudahkan usaha untuk menjejaki rumah Syaawal yang menjadi lokasi liputan bahan berita itu.
Sebaik tiba di lokasi dituju, wartawan Sinar Harian terpaksa pula meninggalkan kereta di tepi jalan kecil kerana rumah itu terletak agak jauh di tengah padang.
Dalam keadaan hujan renyai-renyai, perjalanan menuju ke rumah itu amat mencabar. Terpaksa meredah selut berlumpur selain situasi gelap yang amat menyeramkan.
Sedia menanti termasuk bapa Syaawal, Mazlan Ali, 55, dan ahli keluarga terde­kat selain penduduk kampung turut tidak melepaskan peluang.
Sinar Harian yang tiba ke rumah papan dibina semula daripada perkayuan rumah pusaka keluarga berkenaan bagaimanapun tiba-tiba dikejutkan dengan situasi tegang melibatkan adik Syaawal, Mat Ali, 15, yang secara tiba-tiba menangis, tidak sedarkan diri dipercayai akibat dirasuk.
Selang beberapa minit kemudian, tatkala ahli keluarga sedang menenteramkan Mat Ali, kakaknya, Masliana, 31, tiba-tiba dikatakan terpandang lembaga berambut panjang duduk di alang rumah.
Ustaz Hasrul pada ketika itu berada di rumah berdekatan selepas menikmati makan malam sebaik dimaklumkan perkara itu, bergegas ke rumah Syaawal lalu terus memulakan proses menghalau makhluk halus yang merasuk.
Pada masa itulah, Masli­ana tiba-tiba menunjukkan aksi dan tenaga luar biasa, membuka pencak silat untuk bertarung dengan Ustaz Hasrul. Tiada langsung ciri-ciri kewanitaan pada lagaknya, yang kelihatan hanya langkah pendekar. Namun, biar begitu hebat pun Masliana, mudah sahaja langkahnya dimatikan Ustaz Hasrul dengan ayat suci al-Quran. Ternyata yang bersilat itu bukan Masliana sebenar tetapi makhluk halus yang menguasai tubuhnya.
Bacaan ayat al-Quran selain azan akhirnya berjaya membuat jin yang menguasai wanita itu terperangkap. Masliana pulih apabila jin terbabit berjaya dikurung di dalam botol oleh Ustaz Hasrul.
Kena sembelih
Mat Ali dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat dirasuk makhluk halus dipercayai jin kafir itu sempat berkomunikasi dengan Ustaz Hasrul sebelum jin itu dimatikan melalui sembelihan leher secara kaedah kebatinan.
Jin yang merasuk ke dalam tubuh Mat Ali akhirnya berjaya dikeluarkan selepas hampir setengah jam berhempas pulas dan ia turut dimasukkan ke dalam botol plastik.
Ustaz Hasrul kemudian menepung tawar katil pusaka dipercayai menjadi punca segala kemelut yang berlaku.
Proses rawatan tidak meng­­gunakan sebarang alat lain seperti kemenyan atau asap yang biasa digunakan bomoh tradisional kecuali air penawar itu berakhir kira-kira jam 11.15 malam, sebelum penduduk kampung bersurai setelah kesemuanya berpuas hati dengan kejayaan rawatan diberikan.
Akhirnya, kehadiran Ustaz Hasrul membantu mengusir makhluk halus yang mengganggu keluarga tanpa bayaran, berjaya mengembalikan semula keharmonian hidup keluarga Syaawal.

Sunday, January 1, 2012

KEMPAS 2011



PUCHONG, 26 November - SMK Putrajaya Presint 16 (1) mencipta nama sebagai johan keseluruhan Kem Pendidikan Alam Semulajadi Peringkat Kebangsaan (KEMPAS) 2011.
Sekolah itu berjaya membawa pulang piala pusingan, plak dan Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM250 setiap seorang.

SMK King George V berjaya menjadi naib johan manakala tempat ketiga dimenangi oleh SMK Tun Fatimah yang masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM800 dan RM600 serta plak. Setiap peserta turut memenangi SSPN bernilai RM200 dan RM150.
Kem yang disertai hampir 50 orang pelajar tingkatan empat dari 16 buah sekolah seluruh negara telah berjaya memupuk kesedaran mengenai alam semulajadi .

Program yang telah dijalankan selama seminggu anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Berita Harian itu bertujuan memberi kesedaran serta memupuk semangat cintakan alam semulajadi di kalangan peserta.

Selain itu, KEMPAS merupakan program tahunan yang digerakkan melalui Fakulti Perhutanan UPM, berusaha meningkatkan kefahaman terhadap pendidikan alam semulajadi melalui kaedah hands-on (kerja lapangan) sekitar Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong.

Sementara itu terdapat beberapa anugerah yang mengiktiraf sikap dan budaya penyelidikan unggul seperti Anugerah Tunas Alam menjadi milik Nur Izzah Nabilah Haris dari Sekolah Menengah (SM) Sains Lahad Datu.

Anugerah Kepimpinan Alam pula telah diraih oleh Nur Farah Najwa Hassim dari SMK Tun Fatimah, Johor. Bagi Anugerah Kreativiti Alam, tuah menjadi milik Michelle Elva James, dari SMK Labuan. Anugerah KEMPAS (Peserta Terbaik) pula jatuh kepada Mohd Rozaini Ermi Bin Herman dari SM Sains Lahad Datu, Sabah yang membawa pulang SSPN bernilai RM300 beserta plak.

.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata pendidikan alam semulajadi ini tidak hanya terhad di kalangan pelajar sekolah sahaja malahan menjadi tanggungungjawab dan harus dipraktikkan oleh semua lapisan masyarakat.

"Modul-modul kem ini telah digarap dengan elemen seperti pemantauan, pelaksanaan, dan penghayatan terhadap alam semulajadi. Program ini meningkatkan kefahaman dalam peserta melalui aktiviti-aktiviti di lapangan," katanya sewaktu merasmikan majlis penutup di sini.

Berita ini disediakan oleh Pejabat Pemasaran dan Komunikasi (MarComm) Syed Muhammad Azlan Sayid Hizar, 03-89466184.

Wang Baharu Malaysia ! Wow !

Assalamulaikum dan salam 1Dunia, bukan sekadar politik Malaysia sahaja melalui proses transformasi. Wang kertas Ringgit Malaysia juga melalui proses transformasi. Bank Negara Malaysia memperkenalkan reka bentuk baru wang kertas Ringgit Malaysia dengan wajah baru yang lebih segar dengan sistem keselamatan yang lebih tinggi.

 Gambar Wang Kertas Baru


Bank Negara juga mencetak kembali wang kertas RM20 baru yang dihentikan pengeluarannya sebelum ini.
 Gambar Wang Kertas RM20 Baru

Semuga dengan reka bentuk wang kertas Ringgit Malaysia baru akan menambah semangat untuk kita berkongsi rezeki kepada yang memerlukan bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Amalan suka memberi dengan ikhlas adalah rahsia paling tersembunyi untuk mendapat rezeki berlipat ratus kali ganda. Ada banyak firman Allah yang menyatakan rahsia ini di dalam Al-Quran cuma kita sahaja yang tidak yakin. Dah amalkan baru tahu hasilnya.
Powered By Blogger